Monday 23 March 2015

Adakah kita "DAYUS"?

Image result for dayus

SOALAN: Ramai  lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?

Jawapan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.” (Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie)

Dayus disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir berkata, dia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat Al-Tabrani)

Daripada hadis di atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.

Soalan yang sama daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab Nabi SAW, maksudnya: “Apakah dayus itu wahai Rasulullah?” Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).

Tafsiran golongan ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”
“Cemburu lawannya dayus.” Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.”

“Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”

“Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barang siapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” (Faidhul Qadir, Al-Munawi, 3/430)

Image result for dayus

Lihat betapa ALLAH SWT dan rasul-NYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.
Lelaki menjadi dayus apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya pulang lewat, serta tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.

3. Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.

4. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibu bapa mereka sporting dan memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuan menyertai akademi hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isteri atau anaknya menjadi pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!

9.  Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

RAsulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahan kan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.” (Riwayat Ahmad)

Sumber: Sinar Harian

No comments:

REVOLUSI INDUTRI 4.0

    PENGENALAN Dalam era kehidupan manusia masa kini, kita tidak boleh lari dari perkembangan teknologi. Saban   hari teknologi ini maki...